KONSEP
NILAI MURNI DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
1.0
Tujuan pemilihan tajuk.
Memandangkan kepada masalah sosial yang
semakin ketara dan berleluasa dewasa ini khususnya dalam kalangan remaja ataupun
kanak-kanak sekolah, tajuk ini amat sesuai dipilih untuk diperbincangkan.
Masalah sosial yang disajikan kepada kita baik melalui media elektronik ataupun
media cetak setiap hari amat membimbangkan contohnya kes penyalahgunaan dadah,
penderaan, pembunuhan, rasuah, politik wang dan sebagainya. Kes juvana juga
semakin hari semakin meningkat.
2.0
Definisi Nilai Murni
Nilai murni dapat didefinisikan sebagai
perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam
hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai
murni sebagai:
"Nilai-nilai murni merupakan
tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga
menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya
diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk
kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"
(Wan Mohd. Zahid, 1988)
Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai
yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan,
penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah
melalui Lapuran Kabinet (Lapuran Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk Sri Anwar
Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan
mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk
diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang
seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani
dan jasmani.
3.0
Falsafah Pendidikan Negara
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang
disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:-
"Pendidikan di Malaysia adalah
satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara"
Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah
mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri:
- Percaya dan patuh kepada tuhan
- Berilmu pengetahuan
- Berakhlak mulia
- Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
- Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. Bangsa dan negara.
- Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Keseimbangan dan keharmonian yang terdapat
dalam FPN akan dapat dicapai jika nilai-nilai murni ini dapat direalisasikan
melalui kurikulum (khususnya dalam pendidikan formal dan tidak formal) supaya
ilmu pengetahuan akan dapat diperkembangkan sebagai khalifah Allah dimukabumi
ini, manusia hendaklah menyeru dan menyedarkan sesama manusia yang lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau selaku
Menteri Pendidiakn pernah menyeru agar FPN menjadi teras dan tunjang kepada
sistem pendidikan kebangsaan dalam melaksanakan prinsip-prinsip dan nilai-nilai
yang hendak dicapai. Usaha dan kesedaran daripada insan itu sendiri amat
penting dalam mentafsir, membentuk dan melaksanakn hasrat falsafah pendidikan
demi untuk melahirkan insan yang berilmu, beriman, berakal, berketerampilan dan
berakhlak mulia.
Kesedaran tentang penanaman nilai-nilai murni
disemai dan dibajai mulai zaman kanak-kanak lagi. Ibubapa, guru-guru dan
masyarakat masing-masing berperanan dalam memberi teladan kepada kanak-kanak
agar mereka dapat menyesuaikan dan memeprsembahkan diri mereka berdasarkan
kepada nilai murni yang ditonjolkan kerana mereka ibarat kain putih yang perlu
dicorakkan dengan warna-warna nilai yang baik. Bak kata pepatah, "melentur
buluh biarlah dari rebungnya".
Pendidikan di rumah adalah bergantung kepada
ahli keluarga itu sendiri. Rasulullah S.A.W menegaskan kepentingan pendidikan
bermula di rumah iaitu pada peringkat keluarga lagi. Sabda baginda yang
bermaksud:
" Setiap bayi yang dilahirkan
itu dengan fitrahnya. Hanya ibubapanya yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau
Majusi."
Di sekolah guru memainkan peranan sebagai
ibubapa dalam membentuk kanak-kanak selaras dengan penerapan yang dimasukkan
dalam Falsafah Pendidikan Negara. Nilai-nilai murni mula diterapkan dari
pendidikan pra sekolah lagi merupakan basic atau asas kepada proses
pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi dan bernilai
murni.
Guru bukan hanya menjalankan tugas mengajar
matapelajaran yang terdapat dalam syllabus tertentu sahaja, sebab nilai murni
perlu terdapat dalam setiap matapelajaran. Dan adakalanya nilai murni yang disalurkan
itu tidak terdapat secara khusus di dalam subjek tersebut tetapi diterapkan
secara tidak formal seperti komunikasi yang baik antara guru dan murid, yang
akan mempengaruhi penanaman nilai dalam jiwa pelajar.
4.0
Rasional Nilai-nilai Murni dalam Falsafah Pendidikan Negara
Pada bulan Mei 1969, rusuhan kaum berlaku
dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan kebangsaan kita. Masyarakat
kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan setiap kaum. Selain daripada
itu tekanan daripada cendikiawan Islam terutama sejak Persidangan Sedunia
Tentang Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977 serta penularan pelbagai
jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dikalangan pelbagai lapisan
masyarakat mengalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih kepada
isu nilai dalam pendidikan.
Sebagaimana yang kita tahu matlamat dasar
pendidikan negara adalah untuk melahirkan masyarakat yang bersatupadu,
berdisiplin, berpengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan berwawasan dan
terlatih. Maka apakah corak pandangan hidup atau "world view" yang
harus didedahkan kepada pelajar atau belia sekarang untuk mereka hayati, amal
dan wariskan?. Untuk melihat output dan product yang positif yang dijelmakan
oleh pelajar ialah melalui penanaman nilai-nilai murni serta penekanan yang
lebih jitu dalam usaha mendidik mereka agar selaras dengan penyataan FPN ini.
Fungsi utama proses pendidikan ialah sebagai agen pemasyarakatan dan
pembudayaan dalam menerapkan nilai-nilai tersebut. Yang penting sekali adalah
kesepaduan empat sifat utama iaitu JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan
Intelektual) yang akan menghasilkan keseimbangan dalam melahirkan individu yang
berakhlak.
Masyarakt adalah agen ketiga dalam membentuk
nilai murni. Melalui FPN yang dipelajari disekolah-sekolah baik untuk ahli
masyarakat yang sedang atau telah tamat bersekolah. Mereka telah diterapkan dan
diajar dengan nilai murni. Kesan daripada apa yang dipelajari mereka boleh
jelaskan kepada orang lain samada melalui bentuk penerangan, perbincangan
melihat ataupun perubahan perlakuan sendiri. Penerapan nilai itu mestilah
bersahaja dan tidak langsung dan sentiasa berterusan.
Di Malaysia dewasa ini isu-isu penerapan
nilai murni semakin ketara dan menonjol. Kementerian Pendidikan Malaysia telah
melaksanakan strategi penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif dimana:
" Nilai-nilai murni akan
disisipkan melalui kesemua matapelajaran dan akan diperkukuhkan melalui
kegiatan-kegiatan ko-kurikulum, formal dan tidak formal, di dalam dan di luar
bilik darjah, akan digunakan sepenuhnya dengan cara bersepadu untuk memastikan
penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan."
5.0
16 Aspek Nilai-nilai Murni
Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang
ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam
pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada
agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi
, jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16
nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk
membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif,
psikomotor dan akhlak.
Di sekolah penerapan nilai murni boleh
disepadukan melalui:
- Secara pertuturan
- Secara perlakuan
- Secara teladan
- Secara isyarat
- Secara kefahaman
- Secara interpretasi
- Secara konteksual
Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk
membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat
keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah
memperakui 16 nilai-nilai murni:-
- Baik Hati
Sikap
sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara
tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang
lain. Ini meliputi:
o
Aspek belas
kasihan
o
Bertimbang rasa
o
Murah hati
o
Saling faham
memahami
o
Sedia memaafkan
- Berdikari
Kebolehan
dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Berdikari
dalam konteks ini membawa pengertian:
o
Bertanggungjawab
o
Berupaya
bertindak sendiri
o
Jaya diri dan
yakin pada diri sendiri.
- Hemah Tinggi
Berbudi
pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah lembut yang patut diamalkan oleh
seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain.
Ciri-ciri berhemah tinggi adalah:
o
Kesopanan
o
Mengakui
kesalahan
o
Ramah mesra
- Hormat Menghormati
Menghargai
dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan yang
bersopan. Ini merangkumi:
o
Hormat dan taat
kepada ibubapa
o
Hormat kepada
orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
o
Hormat kepada
raja dan negara
o
Patuh kepada
undang-undang
o
Hormat kepada
hak asasi
o
Hormat kepada
kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan
o
Hormat kepada
keperibadian individu.
- Kasih sayang
Perasaan
cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan. Rasa ini lahir dari hati yang
rela terhadap sesuatu, tanpa sebarang unsur kepentingan diri:
o
Sayang kepada
nyawa
o
Sayang kepada
alam sekeliling
o
Cinta kepada
negara
o
Cinta kepada
keamanan dan keharmonian
- Keadilan
Perlakuan,
pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.
- Kebebasan
Kebebasan
yang dimaksudkan ini, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang
ditentukan oleh agama, masyarakat dan negara. Contohnya ialah:
o
Kebebasan di
sisi undang-undang
o
Kebebasan dalam
sistem demokrasi.
- Keberanian
Kesanggunpan
seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu
perlu ada pada setiap orang. Tetapi ia harus tahu batas dan keupayaannya kerana
keberanian yang melulu mengakibatkan bencana. Nilai ini merangkumi:
o
Berani dengan
tidak membuta tuli
o
Berani kerana
benar
o
Berani
mempertahankan pendirian
o
Berani
bertanggungjawab.
- Kebersihan fizikal dan mental
Kebersihan
fizikal ialah kebersihan diri dan kebersihan persekitaran. Kebersihan mental
pula merangkumi pertuturan, perlakuan, pemikiran dan kerohanian. Antaranya
ialah:
o
Kebersihan diri
o
Kebersihan
persekitaran
o
Pertuturan dan
kelakuan yang bersopan
o
Pemikiran yang
sihat dan membina
- Kejujuran
Sikap
dan perlakuan yang menunjukan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan
sebarang balasan.
- Kerajinan
Usaha
berteruan yang penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi
dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara.
- Kerjasama
Usaha
baik dan membina yang dilakukan secara bersama pada peringkat individu,
komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat seperti
persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong royang, ketoleranan dan perpaduan.
- Kesedaran
Sikap
tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam
pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai
masyarakat. Ini termasuklah:
o
Sederhana dalam
menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.
o
Tidak
keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku.
- Kesyukuran
Perasaan
dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas di atas nikmat dan kesenangan yang
diperolehi seperti berterima kasih,, mengenang budi dan penghargaan.
- Rasional
Boleh
berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan
yang sewajarnya, tanpa dipengaruhi oleh perasaan. Umpamanya seperti boleh
membuat pertimbangan, boleh membuat penakulan dan berfikiran logik dan terbuka.
- Semangat Bermasyarakat
Kesediaan
melakukan sesuatu untuk kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup
dalam masyarakat seperti bermuafakat, kerajinan dan peka kepada isu-isu sosial
dalam masyarakat.
6.0
Keberkesanan penerapan nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Memandangkan penerapan nilai telah lama
dilaksanakan dikalangan pelajar, baik melalui ibubapa, guru ataupun masyarakat,
hari ini kita telah dapat melihat beberapa bukti yang menunjukkan sejauhmana
keberkesanan ataupun ketidakberkesanan penerapan tersebut.
Adakah matlamat FPN untuk melahirkan insan
yang seimbang dan hamonis telah terccapai? Jawapannya, "Ya" dan
"Tidak", ini kerana walaupun penerapan nilai telah disemai dan
dilaksanakan namun masih ada yang tidak mengamalkannya walaupun mereka telah
menerimanya. "Ilmu tanpa Amal", tiada ertinya.
Antara bukti keberkesanan yang telah kita
dapat lihat pada hari ini ialah semakin ramai golongan remaja kita yang
berakhlak mulia walaupun mereka dipengaruhi oleh pelbagai godaan untuk
memencongkan nilai murni pada diri manusia. Golongan remaja yang awal 20-an
sekarang adalah mereka yang telah diterapkan dan diberi penekanan mengenai
penerapan nilai-nilai murni semasa di sekolah dahulu. Hasilnya kita lihat pada
hari ini adanya kesedaran daripada golongan remaja sendiri untuk membenteras
kepincangan yang dihadapi oleh segelintir rakan mereka yang masih dipengaruhi
oleh nilai yang tidak elok. Misalnya, dalam industri muzik yang sentiasa
mengulit remaja dengan lagu-lagu dan muzik terkini seperti rock, dang-dut, dan
lain-lain. Tapi ada juga remaja yang sedar dan cuba menarik dan menutupinya
dengan mengalunkan lagu-lagu dakwah dengan memuji kebesaran Illahi seperti
kumpulan Rabbani, Raihan, Hijjaz, Hawa dan sebagainya. Perkembangan kumpulan
pemuzik dakwah ini sekurang-kurangnya menunjukkan adanya kesedaran dan kejayaan
pemupukan nilai murni.
Dari segi ekonomi misalnya, kanak-kanak
sekolah begitu perihatin terhadap kelemahan dan kesusahan orang lain. Penerapan
nilai murni yang mereka terima membantu menyedarkan mereka untuk menderma,
menolong dan perihati terhadap masalah yang wujud tanpa mengira siapa.
Contohnya, "Derma Hari Pahlawan" yang selalu di buat oleh kanak-kanak
sekolah , menunjukkan disamping mereka menderma mereka bekerjasama membantu
memungut derma tersebut. Ini menunjukkan satu inesiatif yang baik dalam
menyemai nilai-nilai murni.
Anugerah "Tokoh Kanak-kanak",
"Pingat Hang Tuah", "Olahragawan dan Olahragwati" dan
lain-lain anugerah menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai dan
keberkesannanya kerana penganugerahan itu diberikan berdasarkan kepada sikap,
sifat dan pencapaian yang baik yang ditunjukkan.
Yang paling jelas kita lihat sekarang ialah
nilai saling hormat menghormati yang ditunjukkan oleh remaja kita kepada ahli
masyarakat. Melalui penerapan nilai di sekolah-sekolah, ramai pelajar yang
dapat menerimanya. Misalnya mereka prihatin dalam menghormati orang yang lebih
tua daripada mereka. Mereka pandai menyesuaikan diri dalam sesuatu kelompok
tertentu agar tidak menyinggung perasaan orang lain.
Namun demikian tidak dapat dinafikan bahawa
bukan semua nilai-nilai murni yang diterapkan di sekolah-sekolah atau di rumah
itu diterima pakai oleh pelajar kita, sebab masih ada yang menunjukkan kesan
yang negatif. Masalah-masalah sosial yang semakin meningkat sekarang menunjukkan
kesukaran mereka melaksanakan nilai-nilai murni tersebut walaupun mereka
mengetahuinya, tetapi tidak dipraktikan. Ini berpunca daripada beberapa faktor
tertentu seperti ibubapa, institusi sekolah sendiri, guru dan masyarakat dan
pelajar itu sendiri.
Ibubapa misalnya mereka walaupun telah
menyemai dan menanam nilai-nilai murni dalam jiwa anak mereka tetapi tidak
menggalakkan mereka untuk mengamalkan adalah sesuatu yang tidak wajar.
Begitu juga guru-guru dan masyarakat. Mereka
tidak begitu memberi perhatian terhadap nilai-nilai yang asas atau kecil.
Mereka memandang ringan atas beberapa kesilapan kecil yang dilakukan dan
kurangnya penerapan. Guru misalnya, mereka sekadar mengajar mengenai
nilai-nilai murni kepada pelajar sedangkan mereka sendiri tidak menunjukkan
contoh tauladan yang baik.
Sikap individu atau pelajar sendiri yang
ambil mudah (sambil lewa) terhadap penerapan nilai murni ini. Misalnya mereka
mempelajari sesuatu subjek itu adalah sekadar exam-oriented, hanya untuk lulus
peperiksaan, bukannya memahami dan mempraktikkan apa yang dipelajari. Ada
segelintir pelajar yang suka dipaksa untuk melakukan sesuatu perkara, maka
dengan tidak adanya paksaan samada dari ibubapa ataupun guru menyebabkan mereka
melalaikannya.
7.0
Konsep Pemuafakatan Dalam Pendidikan
Dalam pendidikan, konsep pemuafakatn ini
ditumpukan kepada pemuafakatan antara guru, ibubapa, masyarakat dan murid itu
sendiri. Antaranya yang jelas kita nampak ialah pemuafakatan yang dibuat
melalui penibuhan PIBG di sekolah-sekolah untuk menangani dan membincangkan
isu-isu semasa berkaitan dengan sekolah, perkembangan , kemajuan serta masalah
yang melanda pelajar serta sekolah tersebut.
Dengan adanya PIBG, ini menunjukkan bebanan
di sekolah tidak hanya dipikul oleh guru sahaja tetapi juga mendapat kerjasama
daripada ibu-bapa pelajar. Sebarang kemajuan dapat dirasai bersama sebaliknya
juga sebarang masalah perlu dipikul dan dibanteras bersma.
Konsep pemuafakatan di sekolah juga dapat
kita lihat melalui kegiata-kegiatan ko-kurikulum ataupun temasya yang diadakan.
Contohnya temasya sukan atau sukaneka di sekolah adakalanya melibatkan tidak
hanya pelajar berkenaan tetapi juga ahli keluarga pelajar tersebut. Ini
menunjukkan adanya semangat kesukanan, setiakawan serta kerjasama dalam
aktiviti yang dijalankan.
10.0
Penutup
Kesemua 16 nilai yang dipilih untuk
disisipkan kedalam pendidikan adalah nilai-nilai yang dapat menjadikan
seseorang itu manusia yang dihormati dan boleh memainkan peranan yang aktif
dalam menjamin keharmonian dalam masyarakatnya serta dapat menyumbang kearah
pembangunan masyarakat.
Tanggungjawab untuk menyediakan generasi yang
seimbang dan harmonis dari segi JERI bagi melaksanakan hasrat FPN bukanlah satu
yang mudah. Penggubalan KBSM adalah harapan untuk melahirkan insan yang soleh
dan berakhlak mulia.
Tugas guru dalam menerapkan nilai murni tidak
semestinya bergantung 100% kepada kandungan kurikulum yang ditentukan tetapi
perlulan juga berdasarkan inisiatif mereka sendiri. Guru sebagai "role
model" perlulah menunjukkan dan menainkan peranan dalam menerapkan nilai
murni baik dari segi perbuatan, perlakuan maupun tuturkatanya. Guru harus cekap
dalam menyampaikan isi pelajaran disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam
penyampaiannya. Begitu juga dalam memilih kaedah dan waktu hendaklah bersesuaian.
Kesemua nilai yang disenaraikan merupakan
asas atau jambatan kepada pelajar yang masih dibangku sekolah dalam membentuk
perwatakan dan displin diri yang tinggi dan mulia. FPN digubal berpandukan
kepada konsep berteraskan Allah SWT. Ia menampakkan sifat yang bersepadu,
menyeluruh dan seimbang iaitu kesepaduan di antara ilmu, iman dan amal;
kesepaduan di antara akal, jasad dan roh; kesepaduan di antara teori dan amali,
di antara kemahiran dan akhlak; di antara rupa dan jiwa; di antara pembangunan keduniaan
dan akhirat; dan di antara manusia, alam dan Allah, yang mana kesemuanya
bermatlamatkan pemikiran insan soleh . Insan yang baik akan membentuk keluarga
yang baik, seterusnya masyarakat serta bangsa yang baik.
Tindakan kerajaan menukarkan kurikulum lama
kepada kurikulum baru iaitu pendidikan bersepadu (KBSM) adalah satu langkah yan
bijak dan tepat. Ini menunjukkan kerajaan ada campurtangan dan turut memberi
penekanan kepada bukan sahaja ilmu yang bersifat kerohanian dan keduniaan
tetapi juga ilmu moral yang lebih bersifat kejasmanian dan keakhiratan.
Pendidikan akan sentiasa terus berlangsung, tiada limitasinya. Matlamat akhir
pendidikan bersepadu adalah merupakan integrasi tanggungjawab membentuk insan
yang baik dan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek selaras
dengan kehendak FPN.
Dimuat naik pada 10 Jun 2013 jam 11.55pagi.
BIBLIOGRAFI
- Abu Bakar Nordin, 1991. Kurikulum , Perspektif dan Perlaksanaan. Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
- Dr. Tajul Ariffin Nordin & Dr. Nor Aini Dan, 1992. Pendidikan dan Wawasan 2020. Arena Ilmu Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
- Dr. Hussien Hj. Ahmad, ______. Jurnal Pengurusan Pendidikan. Perihal Pendidikan dan Falsafah di Malaysia.
- Ibrahim Saad, 1982. Isu Pendidikan di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
- MASSA: Wawancara Reformasi Pendidikan bersama Datuk Najib. Jun 1997.
- Mok song Sang, 1991. Pendidikan di Malaysia. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
- Wan Mohd Nor Wan Daud, (Jan-Mac 1996). Insan Baik Teras Kewarganegaraan. Pemikir.
No comments:
Post a Comment