MEMAHAMI
KONTRAK SOSIAL DAN KEDUDUKANNYA MENURUT PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Oleh:
MOHAMAD SYAFIQE BIN ABDUL RAHIM
PENGENALAN
Negara
kita merupakan negara yang terdapat pelbagai kaum atau etnik yang hidup
harmoni. Ia adalah unik kerana walaupun penduduknya terdiri daripada berbilang
etnik namun konflik antara kaum jarang berlaku. Jika berlaku tidaklah sehingga
menghancurkan negara.
Di
antara masalah utama ke arah kemerdekaan ialah masalah perpaduan. Ia berkait
rapat dengan kepelbagaian keturunan, budaya, bahasa dan agama. Setiap kaum
mahukan bahasa ibundanya dijadikan bahasa kebangsaan. Di samping itu, kaum-kaum
lain berasa bimbang apabila orang Melayu mahukan agama Islam dijadikan agama
rasmi. Sementara itu orang bukan Melayu menuntut supaya mereka diberikan
kerakyatan.
Sebaliknya
orang Melayu mempersoalkannya. Masalah ini bukan disebabkan oleh sikap
kaum-kaum yang ada di tanah Melayu tetap hasil daripada dasar pecah dan
perintah Inggeris yang mengasingkan mereka dari segi tempat tinggal dan bidang
ekonomi. Ini menyebabkan mereka kurang berinteraksi, akhirnya mewujudkan jurang
perbezaan dan menjejaskan perpaduan.[1]
APA
ITU KONTRAK SOSIAL?
Teori
kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas
Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu
perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya.[2]
Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan
haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang
berkuasa dan berdaulat.[3]
Menurut
bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan
syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih.[4]
Ia juga boleh bermaksud dokumen yg mengandungi syarat-syarat perjanjian atau
cabang undang-undang yg berkaitan dgn kontrak.[5]
Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yg berkaitan dgn
masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan.[6]
Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu
bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh
undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah
negara. Oleh itu, perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini akan
ditumpukan kepada skop perlaksanaannya di Malaysia.
Secara
mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang
dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan
pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak
sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka
wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam
Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial
sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah
yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.
Kontrak
sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan
sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal
keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh
itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha
untuk menegakkan keadilan sosial di negara ini.[7]
Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan Melayu ialah peristiwa
rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang Melayu seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
ELEMEN-ELEMEN
KONTRAK SOSIAL MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Perlembagaan
Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara penduduk di
Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia
bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan
perjanjian perdamaian.[8]
Perlembagaan Malaysia merupakan suatu bentuk tolak ansur yang ulung dengan
setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu (yang lain).[9]
Ini
seperti yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman:
“Orang
Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-orang bukan
Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada
bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi
sebegitu tinggi seperti yang diperbua oleh orang Melayu. Sesungguhnya ada
jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak
sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada
mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa
Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang
Melayu dengan bukan Melayu.” [10]
Beberapa
peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting
yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para
penggubal mengangap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang
dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara
Malaysia yang berbilang kaum.[11]
Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan
semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957. Seperti
yang diterangkan oleh Mohamed Suffian:[12]
“Sebagai
balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan kepada
orang-orang Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai peribumi
negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga peruntukan
lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu”
Inilah
asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia
dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak
sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat
bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan
Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.
Di
mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan
sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi
nilai tradisi, politik dan kebudayaan.[13]
Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang
mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan
keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:
- KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Beberapa
abad lamanya orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Mereka
diperintah oleh sultan dan kepadanya diberikan sepenuh taat setia. Kesultanan
Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan
simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Semasa pemerintahan
British pun raja-raja masih dianggap sebagai raja yang berdaulat[14]
dan masih lagi mempunyai kuasa bagi hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing
meskipun mereka dipaksa menerima beberapa triti dengan British untuk menerima
penasihat British.
Apabila
akhirnya kemerdekaan diberikan kepeda Semenanjung Tanah Melayu, institusi
beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan
dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan.[15]
Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan
kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai
sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik.
Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi kepada upacara rasmi negara.
Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan.[16]
Hasil
penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong diberi kuasa
memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki
mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah
menteri.[17]
Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan[18]
dan merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama badan
perundangan persekutuan iaitu parlimen.[19]
Disamping
itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutun membuat peruntukan bagi menjamin hak
seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak
keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu.
Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada
pindaan[20]
boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan
keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing
tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara
langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka
boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.[21]
Raja-raja
Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu
ianya orang Islam. Yang Di pertuan Agong (yang dipilih daripada kalangan
Raja-Raja Melayu) yang mempunyai kuasa pemerintah bagi persekutuan juga adalah
seorang Melayu dan Muslim. Perbincangan tentang pemerintahan berja tidak akan
lengkap tanpa menyebutkan kedaulatan dan kekebalan (imunity) raja.
Perlembagaan memperuntukan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa
dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah.[22]
Negara
ini masih bernasib baik dengan mewarisi sistem raja-raja yang melambangkan
kuasa Islam. Pada masa ini Perkara 3(2) merujuk kepada tiap-tiap negeri dalam
persekutuan, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam kecuali Melaka, Pulau
Pinang, Sabah dan Sarawak.
2. HAK
KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU
Perlembagaan
Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan
memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan-peruntukan
berkaitan juga terdapat di bawah Perkara 161(A) dan dalam beberapa perlembagaan
negeri.[23]
Di
sisi undang-undang perlembagaan, erti ”Melayu” ialah seseorang yang memenuhi
tiga syarat asas; (i) menganuti agama Islam, (ii) secara lazim
bercakap Melayu, dan (iii) menurut adat istiadat Melayu (Perkara 160).
Dengan hanya mempunyai sifat-sifat (i) hingga (iii) belum sempurna lagi ke
Melayuan seseorang itu di sisi Perlembagaan. Seseorang yang mendakwa dirinya
Melayu hendaklah membuktikan juga bahawa dia lahir sama ada di Persekutuan atau
di Singapura sebelum hari Merdeka atau dapat membuktikan bahawa dia adalah anak
kepada ibu atau bapanya yang lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum
Merdeka.
Setelah
mengimbas kembali siapa itu Melayu, perlu kini kita amati Perkara 153 yang
menjamin kedudukan istimewa orang Melayu yang bumiputera yang termaktub di
bawah klausa (2) Perkara 153. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan
Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan
kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan
menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau
pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan
termasuk permit atau lesen perniagaan. Peruntukan Perkara 153 adalah seperti
berikut;
Perkara
153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk
orang Melayu.
(1)
Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan
istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan
kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
(2)
Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada
peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong
hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah
undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk
memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri
Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera
mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut
oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam
(lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa,
bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya
atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan
Persekutuan dan suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong
mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa trade atau
perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu adalah tertakluk kepada
peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.
Kedudukan
istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang
memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia
ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh
orang bukan Melayu.[24]
Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan
pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f)
juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.[25]
Walaupun
dari satu sudut peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan kesamarataan
layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia satu pertimbangan
untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang lain khususnya
Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya dalam bidang
ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang masih lemah
dan ketinggalan menjelang kemerdekaan.[26]
Kedudukan
istimewa orang Melayu ini tidak mutlak.[27]
Ia diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah
hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam
perlembagaan, hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk
menggunakan bahasa ibunda dan yang paling penting hak untuk mendapat layanan
yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga
dibatasi oleh beberapa peruntukan dalam Perlembagaan.[28]
3.
KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI
Kedudukan
Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya
berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu)
di Malaysia.
Dalam
Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:
“Agama
Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”[29]
Menurut
Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum dan tidak
boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan.[30]
Maka adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang
Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh
kerana Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka
tugas menjaga orang Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama Islam.[31]
Orang
Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan
dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut
agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat
Melayu.
Maka
dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan
bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan apa yang telah
dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British
masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama
Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan
Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi
Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain.
Oleh
itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama
lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan“.
Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:
a)
Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
b)
Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau
khairat, dan
c)
Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut
undang-undang
Berikutan
dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan Persekutuan
dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuhkan atau
menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau
mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk
mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu.[32]
Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui akta dan enakmen perbekalan
tahunan, diberi kuasa untuk membelanjakan wang untuk pentadbiran agama Islam
dan undang-undangnya. Peruntukan seumpama itu jelas disahkan oleh Perkara
12(2).
4.
BAHASA MELAYU
Bahasa
sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara.
Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi
kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan
yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya.
Isu
bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan
perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan
permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa
telah dapat diselesaikan:
“Masyarakat
bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya
nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak
menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina dan Tamil atau
bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa
perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan
kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka
bersetuju”[33]
Maka
bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan
bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan
Persekutuan yang menyebut:
(1)
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang
diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan
syarat bahawa-
(a)
tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa
lain; dan
(b)
tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan
dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
Hipotesis
utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah
bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi
sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu
yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi.[34]
Dimuatnaik pada 10 Jun 2013 jam 12.40pm
[1] Nazaruddin Mohd Jalil et.al (2001) “Pengajian
Malaysia:Kenegaraan dan Kewarganegaraan“, Petaling Jaya : Prentice
Hall, hal. 151
[7] Mohamed Jauhar Hassan, “Keadilan
Sosial dan Hubungan Kaum dalam Konteks Masyarakat Yang Berubah” dalam
Keadilan Sosial, Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar (edi.) (1996), Kuala Lumpur
: Institut Kajian Dasar, hal. 147-148
[8] Ahmad Mohd Ibrahim (Prof. Tan Sri
Datuk), “Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam dalam Perlembagaan Malaysia“,
dalam Seminar Persidangan Pemerintahan Islam, anjuran IKIM pada 17 dan 18 Ogos
1995
[9] YAM Sultan Azlan Shah, “The
Role of Constitutional Rulers in Malaysia” dalam The Constitution of
Malaysia Further Perspectives and Development, F.A Trindade dan H.P. Lee (ed.)
(1998), Singapura : Oxford University Press, hal. 78
[11] Mohamed Suffian Hashim (1984), Mengenal
Perlembagaan, (terj.) Abdul Majid Abd. Latiff dan Ridzuan Omar, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 24
[13] Abdul Aziz Bari, “Perlembagaan
sebagai Pernyataan Sejarah dan Nilai-Nilai asal Negara” dalam Kongres
Sejarah Malaysia II, 26-28 November 1996
[15] Salleh Abbas (1997), Prinsip
Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
Pustaka, hal. 39
[16] Abdul Aziz Bari, “Institusi
Ketua Negara, Ketua Negeri dan Majlis Raja-Raja” dalam Perkembangan
Undang-Undang Persekutuan Malaysia, Ahmad Ibrahim et.al (1999), Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa Pustaka, hal. 43
[22] Perkara 18(1) yang asal, yang
memberi imuniti raja secara mutlak telah dipinda pada 1992. Akibat pindaan ini,
raja boleh didakwa tetapi perbicaraan ke atasnya hanya boleh dijalankan dalam
Mahkamah Khas. Lihat juga Perkara 182 dan 183
[30] Salleh Abbas (1986), Traditional
Element of Malaysia Constitutions : Its Development 1957-1977, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka, hal. 3
[31] Ahmad Ibrahim 1987), “Islam
and Constitutions” dalam Kertas Kerja Persidangan The Malaysia After 30
Years, Kuala Lumpur : Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya
No comments:
Post a Comment